Kuala Lumpur: Pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe disebut-sebut sebagai calon paling hangat untuk digandingkan dengan pengendali baru pasukan Harimau Malaysia, Mario Gomez selaku penolong jurulatih skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, Cheng Hoe yang dihubungi semalam menafikan spekulasi itu biarpun mengakui pernah dihubungi pegawai atasan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Itu hanya khabar angin (penolong jurulatih negara). Saya pun ada dengar perkara itu dan ramai orang turut bertanyakan saya mengenai hal berkenaan.
“Semua itu sekadar khabar angin dan tunggu sajalah hingga Tunku Ismail Sultan Ibrahim (Presiden FAM) mengumumkam barisan kejurulatihan,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar turut terkejut mendengar perkhabaran itu dan mengesahkan pihaknya tidak menerima apa-apa permohonan daripada badan induk bola sepak negara itu.
“Saya tak tahu pun. Lagipun Cheng Hoe masih memiliki kontrak dengan kami (KFA) dan sekiranya betul sudah pasti saya tahu mengenainya.
“Tapi saya tak tahulah kalau selepas ini ada perbincangan mengenai masa depan jurulatih. Fokus Cheng Hoe ketika ini memastikan persiapan pasukan menjelang aksi Piala FA hujung minggu ini dan kempen Liga Super berjalan baik dan sempurna,” katanya.
Sebelum ini, Presiden baru FAM mengumumkan beberapa perubahan drastik termasuk melantik bekas pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Gomez sebagai jurulatih pasukan kebangsaan.
credit MetroArena
0 comments:
Catat Ulasan