Halaman

Isnin, 29 Mei 2017

"RASA MACAM TAK PERCAYA PUN ADA."- KM


ALOR SETAR - Khabar angin mengenai cerita besar kemungkinan akan berlaku kemunculan semula pemain bola sepak yang pernah menjadi sebutan dan kebanggaan pasukan Kedah, Khyril Muhaimeen kuat bertiup di utara tanah air.

Difahamkan bahawa Khyril kini telah "dipancing" oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan diberi tawaran untuk kembali beraksi bersama barisan skuad Helang Merah.

Khyril ketika ditanya mengenai khabar angin tersebut, dia bagaimanapun tidak menafikan desas-desus itu dan mendakwa telah dihubungai KFA sebaik pintu perpindahan pemain dibuka pada 15 Mei lalu.

Pemain PKNS tersebut mengakui sedikit terkejut dan teruja dengan panggilan serta hasrat Kedah untuk melamarnya semula, namun begitu masih belum ada perbincangan secara mendalam.

“Betul..memang ada pihak Kedah buat panggilan dan bertanyakan mengenai hasrat saya, sama ada nak balik semula ke sana atau tidak?

“Rasa macam tak percaya pun ada tetapi buat masa ini saya belum terfikir apa-apa lagi kerana masih di PKNS.

“Pihak pengurusan mungkin akan tahu perkara ini, apa-apa kita tunggulah macam mana nanti, buat masa ini segalanya belum pasti, ” katanya.

Menurut Khyril, dia banyak menghabiskan zaman remaja bersama skuad hijau kuning, namun dia juga turut mengenangjasa PKNS yang sanggup beri peluang kedua buat dirinya selepas kerap kali dilanda kecederaan beberapa musim lalu.

“Saya kena fikir masak-masak soal ini kerana PKNS pun banyak beri peluang kepada saya untuk bermain.

“Sudah tentu peluang ke Kedah juga sukar dilepaskan namun saya pun kena kenang budi PKNS.

“Apa-apa pun saya akan tunggu kata putus majikan jika benar Kedah serius mahu dapatkan saya,” jelasnya.

Khyril merupakan pemain muda Kedah paling menyerlah semasa pasukan itu muncul juara double treble pada tahun 2007 dan 2008 dan berjaya melakar nama untuk beberapa musim apabila dia terus bersama Kedah sehingga 2013 malah sering kali dipanggil untuk memperkuatkan skuad kebangsaan.

sumber KedahNews
Share:

Selasa, 23 Mei 2017

PENGANJURAN PERLAWANAN AKHIR PIALA FA 2017 "CINCAI"


PENGANJURAN PERLAWANAN AKHIR PIALA FA 2017 "CINCAI"

Assalamualaikum warahmatullah.

Kehangatan Kedah menjuarai Piala FA 2017 masih lagi terasa. Tahniah Skuad Lang Merah yang berjuang demi nama Kedah Darul Aman. Sekalung tahniah kepada Skuad Tok Gajah yang mempamerkan semangat juang yang tinggi. Syabas kepada kedua-dua penyokong yang matang dan memperlihatkan semangat kesukanan yang jitu tanpa insiden yang tidak diingini berlaku.

Saya tidak berhajat untuk mengulas tentang apa yang berlaku di dalam padang, sebaliknya ingin meluahkan rasa kekecewaan saya terhadap kualiti penganjuran Perlawanan Akhir yang saya label sebagai "cincai" dan "lepas tangan" sahaja. Saya tidak memaksa anda untuk bersetuju dengan luahan saya. Namun saya mengharapkan ada wakil FMLLP atau FAM yang membaca penulisan saya ini.

1. PA system yang amat mengecewakan. Penyokong di kawasan astaka mungkin dengar dengan jelas setiap apa yang diumumkan tetapi penyokong berhadapan Astaka tidak faham dan jelas kerana kualiti PA System yang teruk. Tidak ada sound check dulu kah sebelum hari perlawanan?
2. Pengumuman line up pasukan. Sepatutnya umum nama pasukan Pahang dahulu selaku tuan rumah tetapi Emcee umum pasukan Kedah dahulu sedangkan di skrin terpapar pada awalnya foto penjaga gol Pahang. Sudahlah suara tidak jelas, pengumuman nama berselerak dengan foto pemain sehinggakan penyokong tidak tahu siapa kesebelasan utama dan simpanan. Kalau begitu, lebih baik dipaparkan senarai nama sahaja keseluruhan.
3. Tiada aktiviti sebelum sepak mula. Penyokong mula masuk seawal jam 4.30 petang lagi tetapi tiada aktiviti yang mengisi ruang kosong lebih kurang 4 jam setengah. Yang ada hanya perlumbaan syok sendiri skuter kecil di hadapan astaka.
4. LED screen hanya paparkan keputusan perlawanan. Setidak-tidaknya, satu skrin paparkan keputusan, satu lagi tayangan live. Peminat boleh saksikan ulang tayang. Bukan itu sahaja, tayangan itu juga boleh paparkan majlis kalungan medal dan penyerahan piala kerana peminat tidak nampak majlis yang berlangsung di pentas utama.
5. Tembakan bunga api "murah". Tembakan bunga api di kampung ketika sambutan tahun baru lebih meriah jika dibandingkan pada malam itu. Prestijnya Piala FA direncatkan dengan dengan tembakan bunga api yang cukup tidak memukau.

Banyak lagi yang ingin ditulis, tetapi cukuplah 5 benda itu. Mungkin akan ada yang mengatakan kepada saya, "pandai complaint ja, dah menang cukup la". Terpulanglah, tapi kena ingat, malam itu adalah FINAL. Perlawanan yang menjadi tumpuan kerana Piala FA ada prestijnya yang tersendiri.
Sekian...

Farzli Adenan al-Fatah
#penyokongsetiahijaukuning
#pshkcrew
#selamanyahijaukuning

sumber FBPagePSHK
Share:

KFA DAFTAR NIDZAM KETUA JURULATIH KEDAH BARU


ALOR SETAR: Penantian peminat dan penyokong bola sepak Kedah mengenai status pemangku jurulatih Kedah Nidzam Adzha Yusoff terjawab apabila beliau kini dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Kedah menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletak jawatan pada 1 April lalu. 

Ini dimaklumkan oleh Nidzam Adzha Yusoff sebelum skuad Kedah mengadakan latihan petang ini di mana dia kini didaftarkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sebagai pengendali utama skuad Hijau Kuning selepas berjaya membawa pasukan Kedah menjuarai Piala FA buat kali keempat. 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kerana memberi kepercayaan kepada saya dengan mendaftar saya sebagai ketua jurulatih. 

"Kini saya mahu terus fokus meningkatkan lagi prestasi pasukan dalam Liga Super dan Piala Malaysia yang juga bakal memberi cabaran besar untuk saya. 

"Saya perlu bekerja keras memastikan momentum kejayaan Kedah diteruskan seperti yang telah dirancang. Bukan mudah untuk mencipta kejayaan besar apatah lagi mahu meneruskan momentum kejayaan yang sudah dikecapi pasukan. Namun saya bertekad mahu beri sepenuh kemampuan dan keupayaan saya demi kejayaan yang dinantikan pasukan Kedah."

 Ditanya mengenai pembantu jurulatih, beliau masih belum memberi apa-apa bayangan dan akan menentukannya dalam masa terdekat. Skuad Kedah kembali berlatih di Stadium Darul Aman bagi persiapan menghadapi perlawanan Liga Super menentang T Team pada 24 Mei ini.

sumber BHOnline
Share:

Isnin, 22 Mei 2017

COACH NIDZAM DEDAH KEJAYAAN KEDAH



SHAH ALAM: Tanpa berselindung, pengendali sementara Kedah, Nidzam Adzha Yusoff mengakui bekas bos Helang Merah, Tan Cheng Hoe banyak memberikan panduan untuk membantunya membawa pulang Piala FA. 

Ternyata, rahsia yang dikongsi Cheng Hoe menjadi azimat apabila mereka berjaya mengekang asakan Pahang sebelum menang 3-2 pada aksi final di Stadium Shah Alam.

Nidzam yang cukup lega apabila pemainnya mampu menangani tekanan di pentas final mendedahkan dia sentiasa berhubung dengan Cheng Hoe. 


"Cheng Hoe seorang individu yang cukup bagus. Setiap hari saya minta pendapatnya dan dia juga tidak lokek untuk memberi nasihat," katanya selepas tamat perlawanan.

Pastinya kejayaan itu memberikan seribu makna buat Nidzam untuk kekal selaku pengendali tetap pasukan sehingga akhir musim ini. "Itu yang dijanjikan oleh pengurusan (tugas selaku jurulatih jika menang Piala FA). Terima kasih pemain kerana memberikan segala-galanya," katanya.

Namun Nidzam mengakui berdepan detik cemas terutama dengan kebangkitan pemain Tok Gajah yang bersungguh-sungguh mengejar kelebihan gol dimiliki Kedah. Situasi itu jelas mendedahkan kelemahan Kedah yang belum cukup ampuh mempertahankan kelebihan jaringan dan ia akan diberi perhatian utama oleh Nidzam menjelang saingan baki Liga Super musim ini. 

"Itulah... selepas kita mendahului, kita hilang fokus. Kami (akan) perkemaskan lagi dan perlu mencapai tahap terbaik apabila sedang mendahului. "Apabila Pahang beraksi 10 orang, kita kena berhati-hati dengan corak permainan mereka yang menerapkan permainan mudah iaitu terus menghantar bola ke depan. 

Alhamdulillah, kita dapat mengatasinya," katanya.

sumber BHOnline
Share:

6 PERKARA KOMEN MARCOTE KEDAH FINAL PIALA FA


Ramon Marcote melalui laman sosial Instagram, memberikan pandangan beliau mengenai permainan pasukan Kedah dalam perlawanan akhir Piala FA 2017 semalam.

Walaupun Kedah berjaya muncul juara Marcote mahukan barisan kejurulatihan Kedah membuat analisis perlawanan semalam, kerana terdapat banyak kelemahan dikesan walaupun bermain dengan 11 orang berbanding pasukan Pahang.

1) Kedah hilang ‘possesion’ dan juga tidak dapat mengawal permainan berbanding dalam separuh masa pertama.

2) Beraksi dengan 11 pemain berbanding Pahang dalam 60 minit, Kedah gagal menggunakan kelebihan ini untuk menjarakkan kedudukan lebih selesa.

3) Gagal untuk menjadikan permainan dengan lebih wide, untuk mengambil peluang dengan kelebihan seorang pemain, serta tidak mencipta situasi yang memenatkan pemain Pahang. Sebaliknya pemain Kedah kelihatan lebih penat sebenarnya


4) Hantaran bola pemain-pemain Kedah perlahan, ia sepatutnya lebih laju dan pantas.

5) Terdapat banyak ruang dan gap diantara pemain-pemain Kedah yang membenarkan pemain-pemain Pahang membuat mengambil kesempatan untuk mencipta peluang menjaringkan gol.

6) Pada separuh masa kedua, pasukan Kedah kurang intensiti permainan berbanding pasukan Pahang.

Bagaimanapun, menurut Ramon Marcote, beliau mengucapkan tahniah kepada Kedah kerana berjaya menjuarai Piala FA 2017 seterusnya memiliki slot Piala AFC 2018.
Share:

Sabtu, 20 Mei 2017

DOLLAH 'RESAH' DENGAN ANAK BUAHNYA


PETALING JAYA: Pengendali skuad Tok Gajah berdepan 'masalah besar' menjelang perlawanan akhir Piala FA, Sabtu ini.

Jelas Dollah Salleh, prestasi pemain-pemainnya sejak kebelakangan ini membuatkan dia pening kepala.

"Saya tidak tahu untuk memilih 18 pemain terbaik. Semua pemainnya menunjukkan tahap prestasi yang baik. Bagaimanapun saya sentiasa mengingatkan mereka supaya memberi fokus kepada perlawanan final ini.

"Kami tidak ada ramuan rahsia, sebaliknya semangat yang ditunjukan semua pemain adalah faktor kami layak ke pentas akhir," ujarnya.

Tambah bekas pengendali kebangsaan ini, dia tidak kisah pasukannya digelar 'underdog' berbanding Kedah yang lebih mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan.

"Kamu yang memberi gelaran itu (underdog). Kami hanya ingin memberi fokus kepada perlawanan sahaja.

"Apa yang penting sekarang, tempoh sehari dua ini diharap tidak ada pemain yang mengalami kecederaan serius dan saya yakin semuanya sudah bersedia untuk aksi Sabtu ini".

Mengenai perkembangan pemain muda baharunya Yamil Romero, jurulatih berusia 53 tahun itu memberitahu, bahawa belum pasti lagi sama ada dia akan diturunkan atau tidak pada aksi bertemu Kedah nanti.

"Saya perlu berbincang dahalu. Lagipun Romero baharu tiga empat hari bersama kami. Saya kena tengok juga tahap prestasi, kecergasan dia walaupun setakat ini semuanya lancar.

"Jadi setakat ini saya belum ada keputusan sama ada dia bermain atau tidak," ujarnya ringkas mengenai pemain import baharu Tok Gajah itu.

Sebagai rekod, Pahang bakal turun ke Stadium Shah Alam dalam misi merangkul gelaran ketiga juara Piala FA selepas tahun 2014 dan 2006.

sumber mStar
Share:

KAPTEN MAHU TAMATKAN KEMARAU 8 TAHUN PIALA FA


SHAH ALAM: Selepas kali terakhir melihat Kedah menjuarai Piala FA dari bangku simpanan, Khairul Helmi Johari tekad mengetuai Helang Merah menamatkan kemarau lapan tahun pada aksi final melawan Pahang di Stadium Shah Alam, malam ini. 

Ia akan menjadi pentas final Piala FA ketiga bagi kapten Kedah dan tonggak pertahanan tengah itu selepas kempunan di tangan Negeri Sembilan pada 2010. 

Pada edisi 2008 dia hanya melihat Kedah mengekalkan kejuaraan itu buat tahun kedua berturut-turut dari bangku simpanan. Justeru, tonggak pertahanan tengah berusia 29 tahun itu menggesa rakan sepasukan untuk memanfaatkan setiap peluang yang ada ketika skuad Helang Merah berhasrat memenangi trofi terbabit buat kali keempat. 

"Secara jujurnya tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk mendapat peluang mengetuai Kedah pada aksi final ini. Apapun saya harus berterima kasih kepada pasukan kerana sudah berusaha bersungguh-sungguh untuk sampai ke final. 

"Jadi, saya berharap kami tidak akan kehilangan fokus sepanjang 90 minit aksi esok selain berharap setiap daripada kami berjaya memanfaatkan peluang yang ada," katanya pada sidang media menjelang aksi final.

Pada malam ini, Khairul Helmi dijangka kekal mengemudi benteng tengah Helang Merah bersama Mohd Syawal Nordin ketika kedudukan pemain import Zac Anderson masih samar kerana baru pulih daripada kecederaan. 

"Saya tidak kisah untuk beraksi di sisi sesiapapun. Saya hanya mengikut arahan jurulatih dan setakat ini saya lihat pemain yang menggantikan Anderson dapat menjalankan tugas dengan baik," katanya. 

Ditanya mengenai apa yang dibimbangkan mengenai skuad Tok Gajah, Khairul Helmi tampak enggan memikirkannya sebaliknya mengakui apa yang lebih penting untuk Kedah mengekalkan permainan secara berpasukan. 

"Kami lebih gemar untuk semua turun bertahan apabila diasak bukan hanya bergantung pada empat pemain pertahanan dan apabila menyerang semua akan turut naik membantu," katanya.

sumber BHOnline
Share:

Isnin, 15 Mei 2017

NELO VINGADA SAH JURULATIH SKUAD KEBANGSAAN


VINGADA DILANTIK SEBAGAI KETUA JURULATIH PASUKAN KEBANGSAAN

Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada, atau lebih dikenali sebagai Nelo Vingada telah disahkan sebagai ketua jurulatih dan telah diamanahkan dengan tugas untuk membawa Malaysia keluar daripada kemerosotan bola sepak.

Tugas pertama beliau, dan bukan sesuatu untuk dicemburui, adalah untuk membawa pasukan kebangsaan menentang Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun sebelum memulakan tanggungjawab menguruskan pasukan di halaman sendiri bertemu pasukan Lubnan di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin, Johor pada 13 Jun sebagai jurulatih dari Portugal yang akan membantu memulakan kempen Malaysia dalam kelayakan Piala Asia 2019.


Digelar sebagai 'The Professor' oleh kerana kaedah pengurusan yang bijak, Vingada memulakan kerjaya kejurulatihan beliau sebagai pembantu kepada Carlos Queiroz untuk pasukan Portugal Bawah-20. Bersama Queiroz, kedua-dua mereka telah membawa Portugal ke arah kejayaan bermula dari bawah iaitu Piala Dunia FIFA Bawah-20 pada tahun 1989 dan 1991.

Selepas kejayaan Queiroz sebagai ketua jurulatih, Vingada konsisten membawa pasukan Portugal Bawah-20 mara ke separuh akhir acara utama seperti Piala Dunia FIFA Bawah-20 pada tahun 1995 dan Sukan Olimpik pada tahun 1996.
Vingada, yang telah melibatkan diri dalam kerjaya sebagai pengurus melebihi 35 tahun serta masih aktif merupakan seorang tokoh yang popular di rantau Asia. Beliau menjadi jurulatih untuk pasukan senior Arab Saudi (1996-1997), pasukan Olimpik Mesir (2004-05), pasukan kebangsaan Jordan (2007-09), dan skuad Olimpik Iran (2014).

Beliau juga mempunyai banyak pengalaman kejurulatihan di peringkat kelab di mana beliau pernah membimbing kelab Zamalek FC dari Mesir dan Seoul FC dari Korea Selatan menjuarai liga dan piala tempatan semasa bersama kelab-kelab tersebut. Kelayakan beliau yang mengagumkan juga termasuk seperti pernah menjadi jurulatih untuk pasukan gergasi Iran, Persepolis FC dan kelab dari Liga Super China, Dalian Shide FC. Kerjaya terakhir beliau adalah di India sewaktu mengendalikan kelab NorthEast United FC ke tangga kelima (sekadar di bawah kelayakan untuk kejuaraan 'playoff') Liga Super India.

Vingada, 64 tahun, dikenali sebagai seorang jurulatih yang mengamalkan corak kejurulatihan yang serius dan disertakan dengan cara beliau yang tegas dan dominan merupakan faktor utama beliau dipilih sebagai pilihan terbaik untuk menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia.

"Saya mahu jurulatih yang juga boleh menjadi seorang guru. Dalam pasukan kebangsaan, ia tidak hanya mengenai kejurulatihan tetapi juga untuk memberi pendidikan kepada pemain kami. Dengan pengalaman dan usianya, kami melihat beliau sebagai jurulatih terbaik yang akan membantu pasukan kebangsaan meraih kejayaan. Kerjaya beliau bersama beberapa pasukan kebangsaan - dalam pasukan belia dan skuad utama - dan beberapa kelab yang telah beliau latih menunjukkan pengalaman beliau yang sangat banyak dalam etika kerjanya. Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Vingada, dan harapnya, menemui kejayaan baru," titah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Setelah melihat banyak jurulatih, tempatan dan juga luar, melakukan kerja mereka, naluri saya menyatakan bahawa Vingada adalah individu yang tepat untuk tugas ini. Saya mungkin silap tetapi hanya masa yang akan menentukan," tambah Baginda.

Vingada, bagi pihaknya, berkata: "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana telah menghubungi saya dan kemudian bertemu dengan saya di Johor baru-baru ini. Ia merupakan satu penghormatan untuk melatih pasukan kebangsaan Malaysia. Ada banyak kerja yang perlu dilakukan dan saya tidak sabar untuk memulakannya. "

Vingada akan tiba di Malaysia pada 25 Mei untuk memulakan tugasannya secara rasmi sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia dan memulakan kerjasama dengan para pemain.

Share:

Sabtu, 13 Mei 2017

LIRIDON "TAKUT" MENENTANG TERENGGANU


ALOR SETAR: Pemain import Kedah, Liridon Krasniqi menegaskan, dia tidak sesekali memandang mudah cabaran Terengganu dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Kuala Terengganu, Sabtu ini. 

Dia yang tidak dapat beraksi pada aksi Liga Super menentang PKNS FC Selasa lalu akibat penggantungan kad kuning, mengakui Terengganu bukannya pasukan yang boleh dipandang ringan. Malah, katanya skuad Penyu juga memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri yang dilihat boleh menjadi faktor untuk memadam kelebihan satu gol yang dibawa Kedah dari aksi separuh akhir pertama. 

"Terengganu berada di tangga ketiga Liga Perdana, mereka mampu melakukan kejutan jika kami tidak berhati hati. Mereka juga memiliki jurulatih berpengalaman Irfan Bakti yang memberi saingan terbaik dalam Liga Perdana setakat ini," katanya.

Katanya, perlawanan di Kuala Terengganu juga memberi kelebihan kepada tuan rumah yang akan mendapat suntikan motivasi sokongan peminat tempatan. 

"Saya dapat rasakan debaran yang semakin memuncak kerana setiap pemain yang beraksi di pentas separuh akhir pastinya mahu beri aksi terbaik untuk membantu pasukan layak ke peringkat akhir. 

"Bagi saya semua pemain sudah bersedia daripada semua aspek termasuk mental.

"Kami mahu menjayakan apa yang dirancang (pemangku) jurulatih, Kedah Nidzam Adzha," katanya yang mengidam untuk menjulang Piala FA bersama Kedah musim ini.

sumber BHOnline
Share:

Isnin, 8 Mei 2017

PENJAGA GARISAN DILAYANGKAN KAD MERAH


Dalam aksi Scottish Premiership antara Kilmarnock menentang Dundee, seorang penjaga garisan telah pun dilayangkan kad merah oleh pengadil!

Kenapa ia berlaku? Ia berlaku selepas penjaga garisan tersebut terasa seperti tidak sihat ketika bertugas, pemain yang berdekatan dengan beliau cuba memastikan beliau dalam keadaan elok.


Pengadil kemudiannya datang untuk mendapatkan khabar dari penjaga garisan, lantas beliau bertindak spontan memberikan kad merah kepada pembantunya itu!

sumber SemuanyaBola

Share:

Sabtu, 6 Mei 2017

TONGGAK UTAMA LANG MERAH TERPAKSA DIREHATKAN


UJIAN yang melanda skuad hijau kuning sejak sebulan lalu kelihatan belum berakhir sehingga aksi menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada Selasa depan.

Bagaimanapun kali ini, dugaan itu perlu ditanggung oleh jurulatih sementara, Mohd Nidzam Adzha Yusof yang akan memulakan perlawanan di Stadium Shah Alam pada Selasa.

Mohd Nidzam memberitahu, Kedah perlu melupakan khidmat pemain penting kerana masalah kecederaan dan penggantungan ketika bertemu PKNS.

Mereka yang berkemungkinan tidak beraksi dalam peralwanan itu ialah tonggak tengah Liridon Krasniqi, Zachary Anderson, Halim Saari dan Rizal Ghazali.

Jelasnya, Liridon terpaksa diketepikan kerana sedang menjalani hukuman pergantungan satu perlawanan setelah menerima kad kuning ketiga baru-baru ini.

"Zachary dan Halim pula mengalami kecederaan yang perlu direhatkan sehingga pulih sepenuhnya, cuma Halim akan berehat lebih lama kerana kecederaan lebih serius.

"Rizal tidak dapat bersama kita kerana masih menjalani hukuman penggantungan selepas dilayangkan kad merah di Kuala terangganu sebelum ini," katanya

Walaupun terpaksa berdepan tekanan itu, namun sebagai 'orang lama' dalam skuad Kedah, Mohd Nidzam mempunyai cara tersendiri untuk memastikan pasukan kesayangannya tidak pulang hampa.

Bekas pemain Kedah itu tetap mahu meneruskan rentak permainan yang berakhir dengan kemenangan ketika menentang Terengganu dalam saingan Piala FA minggu lalu.

"Insha-Allah, saya yakin mampu menangani kesukaran dan  ujian getir ini dengan pengalaman yang ada sebagai pembantu jurulatih selama tiga tahun.

"Saya sudah kenal pasti kemampuan kesemua pemain sekian lama dan itu dapat membantu saya menyediakan skuad terbaik untuk pulang dengan tiga mata.



sumber mStarOnline
Share:

Khamis, 4 Mei 2017

TEMPOH NIDZAM SEHINGGA PIALA FA SELESAI


KETUA jurulatih sementara Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof diberi tempoh sehingga perlawanan akhir Piala FA untuk membuktikan kemampuannya bagi menggantikan Tan Cheng Hoe secara tetap.

Pengurus Kedah, Datuk Jeffry Low Han Chow berkata, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memutuskan untuk memberi peluang kepada Mohd Nidzam Adzha memandangkan dia setia bersama Kedah selama ini.

Bagaimanapun itu tidak bererti dia  akan meninggalkan Kedah selepas itu sebaliknya akan kekal sebagai penolong jurulatih.

"Setakat ini Mohd Nidzam Adzha adalah individu paling sesuai untuk mengendali pasukan Kedah kerana dia telah lama bersama kita dan sudah arif dengan kemampuan pemain serta taktikal yang digunakan.

"Dalam perlawanan sebelum ini, dia berjaya merencanakan permainan yang baik sehingga membawa kepada kemenangan 1-0 untuk perlawanan separuh akhir pertama Piala FA.

"Kita akan memantau dia dan beri tempoh sekurang-kurangnya sehingga aksi Piala FA berakhir bulan ini," katanya kepada mStar Online.

Jeffry memberitahu, KFA juga telah menghubungi bekas penolong jurulatih Kedah, Ramon Marcote yang kini bersama skuad Atletico Madrid yang menggantikan Tan Cheng Hoe.

"Tetapi perbincangan masih di peringkat awal dan terdapat misi lebih penting dalam Piala FA yang perlu kita selesaikan ketika ini.

"Apa yang penting ialah kita dapat berada di final dengan menewaskan Terengganu dalam aksi kedua separuh akhir nanti," ujarnya.

Beliau berkata, berada di final juga pastinya menjadi harapan penyokong yang tidak pernah berhenti memberi sokongan walaupun terpaksa menempuh perjalanan jauh atau dibasahi hujan.

sumber mStarOnline

Share:

Selasa, 2 Mei 2017

AMIERUL & IFWAT REBUT POSISI PENJAGA GOL


Mohd. Ifwat Akmal dan Amierul Hakimi Awang menjadikan perebutan slot penjaga gol utama dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 semakin sengit selepas masing-masing berjaya mempamerkan aksi memukau di peringkat separuh akhir pertama Piala FA, Ahad lalu. 

Ifwat berjaya mempamerkan karektor tersendiri apabila memastikan gawang Kedah tidak bocor buat kali pertama selepas empat perlawanan. 

Enggan mudah berpuas hati, Ifwat berharap dapat sekali lagi mempertahankan gawang daripada dibolosi dalam separuh akhir kedua, 13 Mei ini. 

"Kemenangan ini mampu menaikkan moral kami untuk menghadapi perlawanan seterusnya. 

"Sebelum ini, kami cuma tidak bernasib baik untuk meraih kemenangan apabila hanya mencapai keputusan seri. 

"Di Terengganu nanti, kami akan cuba mendapatkan bekalan gol di tempat lawan sambil memastikan pintu gol tidak dibolosi. 

"Insya-Allah, kami mahu membuat yang terbaik untuk mara ke final Piala FA musim ini," katanya. 

Sementara itu, Amierul Hakimi belum lagi memikirkan peluangnya dalam Sukan SEA -- bermula 19 hingga 30 Ogos depan -- biarpun dia semakin mendapat tempat sebagai benteng terakhir Sang Penyu. 

Baginya, dia mahu memberi tumpuan bersama Terengganu, terutama dalam saingan Piala FA, dan berjanji akan mempamerkan aksi lebih cemerlang di Kuala Terengganu. 

"Keputusan ini (separuh akhir pertama Piala FA) tidak menjejaskan moral kami sebagai sebuah pasukan. 

"Dalam aksi di tempat sendiri nanti, Insya-Allah kami boleh bangkit dengan menuruti taktikal yang diterapkan jurulatih," kata Amierul Hakimi. 

Tambahnya mengenai peluang beraksi dalam Sukan SEA nanti: "Kalau dipanggil untuk skuad Sukan SEA, ia pasti dapat menaikkan moral dan keyakinan saya."

sumber StadiumAstro
Share:

Support Us

Popular Posts

Jumlah Pelawat

Subscribe

propeller

proppeller

Back to Top
 
Youtube Channel Image
PKSR Subscribe To watch more Blogging PKSR
Subscribe