Halaman

Khamis, 10 Ogos 2017

PENSWASTAAN PASUKAN LIGA MALAYSIA



PENSWASTAAN PASUKAN LIGA MALAYSIA: APA MAKSUDNYA, APA SYARATNYA & APA STATUS TERKINI?

Penswastaan pasukan Liga Super dan 100Plus Liga Premier adalah langkah penting dalam usaha kita untuk menaikkan nilai liga bola sepak kita.

Seperti yang anda sedia maklum semakin tinggi nilai liga, semakin banyak penaja mahu menaja liga dan pasukan. Apabila penaja semakin banyak, semakin meriah dan maju liga kita. Dan semua orang tahu, liga yang bagus akan mempengaruhi kualiti skuad kebangsaan.

Tetapi tahukah anda apa maksud sebenar penswastaan pasukan? Apa syarat-syaratnya? Apa status penswastaan pasukan Liga Super dan 100Plus Liga Premier ketika ini?
Sebelum kami menjelaskan tentang penswastaan pasukan, kami ingin menjelaskan 3 terma yang penyokong bola sepak tempatan selalu keliru:

• Penswastaan liga
• Penswastaan pasukan
• Pelesenan kelab

(i) Penswastaan liga
Penswastaan liga adalah satu gerakan yang memberi hak pemilikan bersama kepada FAM dan semua pasukan yang bertanding di dalamnya.
Sebelum era penswastaan liga, hanya FAM yang memiliki liga. Hanya FAM lah yang menentukan hala tuju liga. Hanya FAM lah yang menguruskan liga.
Tetapi selepas liga diswastakan, FAM memberi hak pemilikan bersama kepada semua pasukan yang bertanding dalam liga. Untuk mengurus liga, FMLLP ditubuhkan untuk memastikan hak semua pemilik bersama liga ini dijaga dengan adil.
Tujuan penswastaan liga dibuat adalah untuk menaikkan nilai liga.

(ii) Penswastaan pasukan & (iii) Pelesenan kelab
Penswastaan pasukan pula adalah satu gerakan yang memastikan pasukan memenuhi kriteria dan standard yang ditetapkan oleh FAM, AFC dan FIFA. Gerakan ini dinamakan pelesenan kelab.

Tujuan pelesenan kelab ini dibuat adalah untuk menaikkan nilai sesebuah pasukan. FMLLP pula menetapkan pelesenan kelab perlu dibuat sebagai pra-syarat menyertai Liga Super musim 2018 dan Liga Premier musim 2020.

Mengapa pelesenan kelab penting?
Dari segi analogi, pelesenan kelab adalah seperti pensijilan ISO kepada sesebuah organisasi. Ia adalah petunjuk organisasi tersebut mengamalkan amalan terbaik (best practices) mengikut panduan ISO.

Seperti syarikat swasta yang menggunakan ISO untuk meyakinkan klien bahawa mereka adalah syarikat yang bagus, kelab bola sepak boleh menggunakan lesen kelab untuk meyakinkan penaja mereka.

Apa beza syarat pelesenan FAM dan AFC?
Berbeza dengan pemahaman ramai penyokong bola sepak Malaysia, syarat pelesenan kelab yang dikeluarkan oleh FAM sebenarnya diasaskan oleh syarat pelesenan kelab yang dikeluarkan oleh AFC.

Ini bermakna jika kelab anda mematuhi syarat pelesenan kelab yang dikeluarkan oleh FAM, kelab anda juga sebenarnya telah mematuhi syarat pelesenan kelab yang dikeluarkan oleh AFC.
Malah ada sesetengah syarat pelesenan FAM jauh lebih ketat berbanding yang ditetapkan oleh AFC.
Apa syarat-syarat pelesenan kelab yang dikeluarkan FAM?

Ada 6 kriteria pelesenan kelab yang perlu dipatuhi:

• Kriteria kesukanan
• Kriteria infrastruktur
• Kriteria pentadbiran
• Kriteria undang-undang
• Kriteria kewangan
• Kriteria perniagaan

6 kriteria ini dibahagikan kepada 3 gred keperluan:

Gred A – jika pasukan gagal memenuhi kriteria gred A, mereka tidak akan diberi lesen memasuki pertandingan AFC dan FAM.

Gred B – jika pasukan gagal memenuhi kriteria gred B, mereka masih boleh memasuki pertandingan AFC dan FAM jika mendapat kebenaran pemberi lesen.

Gred C – jika pasukan gagal memenuhi kriteria gred C, mereka masih boleh memasuki pertandingan AFC dan FAM. Boleh berubah menjadi gred A dan B pada bila-bila masa.
Berikut merupakan perincian 6 kriteria tersebut beserta gred yang telah ditetapkan oleh AFC.

(i) Kriteria kesukanan
Setiap pasukan mesti mempunyai:
– struktur pembangunan pemain (gred A)
– program pembangunan pemain muda (gred A)
– servis dan sokongan perubatan untuk pemain berkontrak (gred A)
– program akar umbi (gred B)
– program pendidikan staf teknikal dan pemain (gred B)
– program CSR (gred C)
– akademi pemain muda (gred C)
– tidak mengamalkan semangat perkauman (gred C)

(ii) Kriteria infrastruktur
Setiap pasukan mesti menyediakan:
– stadium yang mengikut Peraturan Stadium AFC dan Manual Pertandingan Kelab AFC (gred A)
– sijil keselamatan stadium (gred A)
– pelan pengosongan stadium jika berlaku kejadian tidak diingini (gred A)
– kemudahan latihan pasukan mesti boleh diakses sepanjang tahun (gred A)
– pelan keselamatan stadium (gred B)
– kemudahan latihan minimal untuk pembangunan pemain (gred B)
– peraturan stadium (gred B)
– kemudahan stadium untuk OKU (gred B)
– papan tanda arahan di stadium (gred C)

(iii) Kriteria pentadbiran
Setiap pasukan mesti mempunyai:
– sekretariat kelab dan pejabatnya sendiri (gred A)
– CEO pasukan (gred A)
– pegawai kewangan (gred A)
– pegawai keselamatan (gred A)
– pegawai media (gred A)
– pegawai perubatan (gred A)
– ahli fisioterapi (gred A)
– ketua jurulatih (gred A)
– pembantu ketua jurulatih (gred A)
– ketua pembangunan pemain muda (gred A)
– jurulatih pemain muda (gred A)
– organisasi keselamatan dan sekuriti atau stewards (gred A)
– hak, tanggungjawab dan tugas setiap pegawai mesti ditulis (gred A)
– pengganti jika pegawai tak dapat bertugas (gred A)
– memberitahu pemberi lesen jika ada perubahan staf (gred A)
– penasihat undang-undang (gred C)
– pengarah teknikal pasukan (gred C)
– jurulatih penjaga gol (gred C)
– jurulatih kecergasan (gred C)
– pegawai pelesenan pasukan (AFC tidak mewajibkan tetapi FAM menetapkan gred B)

(iv) Kriteria undang-undang
Setiap pasukan mesti menyediakan:
– dokumen pengisytiharan penghormatan pasukan terhadap pemegang taruh pertandingan AFC dan FAM (gred A)
– dokumen perlembagaan, statut dan artikel kelab (gred A)
– dokumen pemilikan kelab (gred A)
– kontrak bertulis dengan pemain (gred A)
– prosedur disiplin dan kelakuan untuk pemain dan staff (gred C)
(v) Kriteria kewangan
Setiap pasukan mesti menyediakan:
– kenyataan kewangan yang beraudit (gred A)
– kenyataan kewangan untuk tempoh interim yang beraudit (gred A)
– tiada hutang dengan kelab lain dalam hal perpindahan pemain (gred A)
– tiada hutang dengan staf/pemain kelab dalam hal KWSP dan Socso (gred A)
– dokumen perwakilan sebelum memohon lesen (gred A)
– maklumat unjuran kewangan (gred A)
– makluman kepada pemberi lesen jika ada hal-hal berkaitan kewangan kelab yang mempengaruhi kelayakan mendapat lesen (gred B)
– makluman unjuran kewangan yang dikemaskini (gred B)

(vi) Kriteria perniagaan
Setiap pasukan mesti menyediakan:
– pelan perniagaan (AFC tidak mewajibkan tetapi FAM menetapkan gred B)

Apa status penswastaan pasukan di Malaysia ketika ini?
Ketika ini FMLLP memberi masa sehingga September 2017 kepada semua pasukan Liga Super untuk menyiapkan kriteria-kriteria minimum yang membolehkan mereka mendapat lesen.
Pada Oktober 2017 nanti, sebuah badan berkecuali akan datang melawat semua pasukan Liga Super untuk melihat sama ada mereka berjaya memenuhi kriteria minimum perlesenan kelab atau tidak.

Kegagalan mereka mendapatkan lesen akan menyebabkan pasukan tak boleh bertanding dalam Liga Super musim 2018 dan Liga Premier musim 2020.

Setakat ini persiapan pelesenan kebanyakan pasukan Liga Super dan sesetengah pasukan 100Plus Liga Premier (seperti Negeri Sembilan FA) sudah berada di tahap 80%.
Baki 20% yang tak siap pula kebanyakannya berpunca daripada isu ‘tersangkut’ dalam kriteria pentadbiran dan kewangan. Seperti tiada staf pentadbiran yang mencukupi dan akaun beraudit. —

sumber ArslanFootballClub
Share:

0 comments:

Catat Ulasan

Support Us

Popular Posts

Jumlah Pelawat

Subscribe

propeller

proppeller

Back to Top
 
Youtube Channel Image
PKSR Subscribe To watch more Blogging PKSR
Subscribe